Tag

solattarawih

Browsing

Assalamualaikum semua! Alhamdulillah, akhirnya kita dapat bertemu lagi dengan bulan yang mulia ini. Tetapi yang membezakan Ramadhan tahun ini dan tahun-tahun yang lain adalah tiada solat tarawih secara berjemaah di surau. Sedih kan? Tetapi tidak mengapa, insyaAllah dengan keberkatan bulan mulia ini dan juga penjagaan jarak sosial kita dapat mengurangkan lagi kes jangkitan Covid 19. Duduk rumah, okay?

Untuk artikel kali ini, admin akan kongsikan cara dan panduan solat tarawih di rumah. Boleh dibuat secara berjemaah bersama-sama keluarga, kawan-kawan (yang tinggal di rumah sewa) dan bagi yang berseorangan, jangan bersedih ya. Allah S.W.T kan ada.

Apa itu Solat Tarawih?

 Tarawih bermaksud duduk bersenang-senang atau beristirahat. Solat Tarawih bererti solat dengan rasa senang dan kelapangan hati selepas solat fardhu Isya’. Biasanya jemaah duduk berehat setelah mengerjakan 4 rakaat solat Tarawih dan membaca zikir ataupun doa sebelum disambung semula dengan 4 rakaat lagi, sehingga cukup 8 ataupun 20 rakaat. (Sumber : Wikipedia)

Cara Solat Tarawih :

1. Lafaz Niat Solat Terawih

اُصَلِّى سُنَّةَ التَّرَاوِيْحِ رَكْعَتَيْنِ إِمَامًا ِللهِ تَعَالَى

Sahaja aku sembahyang sunat Tarawih dua rakaat *(menjadi makmum / imam) kerana Allah Taala.

2. Sama Seperti Rukun Solat Yang Lain

Selepas lafaz niat dan takbiratul ihram, kita perlu membaca al-Fatihah, surah pilihan, rukuk, iktidal, sujud, duduk antara dua sujud, dan kemudian meneruskan rakaat kedua sehinggalah bacaan tahiyat akhir dan diakhiri dengan salam. Jumlah rakaat boleh dilakukan sama ada 8 rakaat (4 salam) atau 20 rakaat (10 salam).

3. Bacaan Surah

Sejujurnya, kita boleh membaca apa sahaja surah yang kita hafal sekalipun. Tidak ada yang wajib membaca surah-surah yang tertentu sahaja.

4. Selawat & Wirid di Antara Solat

Boleh amalkan selawat-selawat yang kita sering alunkan atau yang kita tidak pernah hafal selama ini. (Panduan penuh di akhir artikel)

Cara Solat Witir :

Ada yang tanya, kenapa perlu buat solat sunat witir setelah selesainya solat tarawih? Ini kerana, solat witir merupakan penutup segala solat yang dilakukan hingga menjelang subuh. Dinamakan ‘Solat Sunat Witir’ kerana bilangan rakaatnya yang ganjil. Solat Witir boleh dikerjakan 1 rakaat, 3, 5, 7, 9 atau paling banyak 11 rakaat.

  1. Dilakukan 3 rakaat dengan dua salam. (2 rakaat + 1 rakaat)
  2. Lafaz niat sembahyang sunat Witir: Sahaja aku sembahyang sunat Witir 1 rakaat / 2 rakaat (makmum / mengikut imam) kerana Allah Taala.
  3. Solat seperti biasa dan diakhiri dengan salam.
  4. Pada malam ke-16 hingga akhir bulan Ramadhan disunatkan membaca qunut pada rakaat yang akhir. Lafaznya sama dengan lafaz qunut sembahyang Subuh.
  5. Boleh dibacakan apa-apa surah selepas surah al-Fatihah, namun afdalnya boleh dibaca surah berikut:
  • Rakaat pertama – surah Al-A’la
  • Rakaat kedua – surah Al-Kafirunn
  • Rakaat ketiga – surah Al-Ikhlas, Al-Falaq, dan An-Nas

Muat Turun Panduan Jakim :

Untuk panduan lengkap, anda boleh download panduan penuh solat terawih oleh Jakim. Semoga Ramadhan kali ini memberi kita keinsafan dan penuh makna. Selamat Berpuasa 🙂

http://www.islam.gov.my/images/ePenerbitan/Panduan-Solat-Terawih-Jakim—2020.pdf